Syair Keinsafan dan Kesedaran

Ingatlah kamu kepada Tuhan
Janganlah leka minum dan makan
Amal ibadat mahulah dikumpulkan
Dosa maksiat hendaklah dijauhkan

Wahai pemuda serta pemudi
Harapan bangsa tiang negeri
Janganlah leka berhias diri
Ilmu pengetahuan segera dicari

Seorang diri di liang lahad
Baharulah ingat tak buat ibadat
Hendak puasa sembahyang dan zakat
Tetapi semuanya sudah terlambat

Bila rasa tersangat siksa
Baharulah teringat kembali ke dunia
Tetapi tiada apa gunanya
Kerana sudah pergi ke sana

Wahai kaum muslimin dan muslimat
Dunia ini hampirlah kiamat
Janganlah asyik membuat maksiat
Sebelum mati kita bertaubat

Mayat terbujur di dalam kubur
Daging dan tulang hancur lebur
Di atas dunia ia bertakbur
Kepada Tuhan ia tidak bersyukur

Wahai saudara serta saudari
Pahalanya banyak tidak terperi
Mencari keuntungan diri sendiri
Baikkan perangai rendahkan diri

Banyak orang mengejar kesenangan
Siang dan malam berangan-angan
Harta dan pangkat ada di tangan
Di akhirat kelak sesal berpanjangan

Kepada anak-anak utamakan pelajaran
Penuhi dada dengan ilmu pengetahuan
Pelajaran agama janganlah ditinggalkan
Siang dan malam berilah teguran

Kepada Allah janganlah berhenti
Menjunjung titah berbuat bakti
Pekerjaan jahat janganlah dihampiri
Terbakar kulit dijilat api

Bila dah tiba ajal dan mati
Tinggal anak saudara dan saudari
Air mata mengalir ke pipi
Tiadalah boleh diminta kembali

Di dalam kubur gelap gelita
Kerana tiada lampu dan pelita
Datanglah lipan, ular dan kala
Lalu disengatnya tersangatlah bisa

Malaikat datang bertalu-talu
Membawa rantai besi dan belenggu
Mayat disiksa terus dipalu
Tidaklah dikira masa dan waktu

Ingatlah tuan serta puan
Janganlah terlampau mengejar kebendaan
Apabila mati semuanya ditinggalkan
Hanya dibawa amal kebajikan

Datanglah pula perasaan sesal
Amalan soleh tiada dibekal
Ajaran Tuhan banyak ditinggal
Tahulah dia di dunia tak kekal

Di akhir zaman kebanyakan manusia
Kepada akhirat banyak tidak percaya
Mahupun miskin ataupun kaya
Kemewahan dunia ia terpedaya

Iblis dan syaitan sentiasa menggoda
Iman manusia terus dilanda
Dosanya bertambah berlipat ganda
Marilah kita sentiasa berwaspada

Semangat Islam semakin kabur
Seluruh umatnya sangatlah mundur
Pengajaran agama sangatlah kendur
Adab kelakuan tak boleh ditegur

Sampai di sini saya bermadah
Ambil ingatan walau sepatah
Janganlah saudara memandang mudah
Baik dan jahat akan terdedah

Rebutlah peluang semasa muda
Berbaktilah kepada bangsa dan nusa
Untuk masyarakat dan kedaulatan agama
Namumu harum disebut selama-lama

~ Petikan buku: Senjata Pak Kiyai

Puisi hati…..

Apabila hati berbunga iman
Jalan kehidupan bersuluh redhaNya
Apabila tahajud berkunjung airmata
Ku pohon langkah pedoman
Ku pohon bangkitkan jiwa yang terlena
Agar terbuka hidayah yang terhijab dek dosa”

~ Anonymous

Syair Hamzah Fansuri – 15

Pada dunia nin jangan kau amin
Lenyap pergi seperti angin
Kuntu kanzan tempat yang batin
Di sana da’im yogya kau sakin

Lemak manis terlalu nyaman
Oleh nafsumu engkau tertawan
Sakarat al-mawt sukarnya jalan
Lenyap di sana berkawan-kawan

Hidup dalam dunia umpama dagang
Datang musim kita ’kan pulang
La tasta’khiruna sa’atan lagi kan datang
Mencari ma`rifat Allah jangan alang-alang

~ Hamzah Fansuri

Makrifat

Syair….

Tahukah kalian nama tanpa yang diberi nama
Pernahkan kalian petik mawar dari m-w-r semata
Kalian beri ia nama, carilah realiti yang diberi nama
Jangan lihat bulan di air, carilah bulan di langit sana
Andaikan dari nama dan huruf kalian ingin mengatasi
Dari egoisme hendaklah kalian hindarkan diri
Dari semua tabiat jiwa bersihkan diri kalian
Wujud nurani kalian nescaya terlihat
Memang Nabi dalam kalbu kalian nescaya tertampakkan
Tanpa guru dan penonton pun tidak diperlukan
Dari Dualisme ku tukar diri dan ku lihat alam hanya satu
Dari Yang Satu ku cari, dengan Yang Satu ku tahu
Kepada Yang Satu ku lihat, dan untuk Yang Satu ku seru
Oleh Piala Cinta ku mabuk dan alam pun fana sari pemahaman ku
Menikmati minuman dan berbincang dengan-Nya itulah kesibukan ku

~ Jalaluddin Ar-Rumi ~

Sumber

Fana’ dan Hulul

Fana’ dan Hulul

Duh, penganugerah bagi si pemegang kurnia
Terhadap diri-Mu dan diriku begitu aku terpada
Kau buat begitu dekat diriku dengan-Mu
sehingga
Kau adalah aku
begitu kukira
Kini dalam wujud diriku menjadi sirna
Dengan-Mu aku kau buat menjadi fana

~ Abu al-Mughits al-Husain bin Manshur bin Muhammad al Baidhawi Al-Hallaj

Sumber

Gurindam Dua Belas ~ Karya Raja Ali Haji

Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad (k.k. 1808 – k.k. 1873) atau lebih dikenali sebagai Raja Ali Haji, ialah ulama, ahli sejarah, serta pujangga Bugis, dan terutamanya pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa bahasa Melayu melalui Pedoman Bahasa, buku yang telah menjadi piawai bahasa Melayu. Bahasa Melayu baku inilah yang ditetapkan sebagai bahasa Indonesia, bahasa rasmi negara Indonesia, dalam Kongres Pemuda Indonesia pada 28 Oktober 1928.

Dilahirkan di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau, Raja Ali Haji merupakan keturunan kedua (cucu) kepada Raja Haji Fisabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. Mahakaryanya, Gurindam Dua Belas, yang diterbitkan pada tahun 1847 menjadi pembaharu arah aliran kesusasteraan pada zamannya. Raja Ali Haji yang berpendidikan Arab masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik yang banyak mempengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur Arab.

Inilah Gurindam Dua Belas…

Gurindam I

Ini gurindam pasal yang pertama:

Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.

Gurindam II

Ini gurindam pasal yang kedua:

Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

Gurindam III

Ini gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,
niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi’il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjaian yang membawa rugi.

Gurindam IV

Ini gurindam pasal yang keempat:

Hail kerajaan di daiam tubuh,
jikalau lalim segala anggotapun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,
aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur2.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi.

Gurindam V

Ini gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenai orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Gurindam VI

Ini gurindam pasal yang keenam:

Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi,

Gurindam VII

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
I’ika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.

Gurindam VIII

Ini gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya,
apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,
orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,
daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,
biar dan pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,
setengah daripada syarik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,
kebalikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,
keaiban diri hendaklah sangka.

Gurindam IX

Ini gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik,
tetapi dikerjakan,
bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa.
Kepada segaia hamba-hamba raja,
di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,
di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.

Gurindam X

Ini gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa,
supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.

Gurindam XI

Ini gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hajat.
Hendak dimulai,
jangan melalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.

Gurindam XII

Ini gurindam pasal yang kedua belas:

Raja muafakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
tanda raja beroleh anayat.
Kasihan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.

Puisi Rabi’ah al Adawiyah – 6

Rabi’ah menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Rabi’ah memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah tidak mengharapkan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Puisi Rabi’ah al Adawiyah – 5

Selama 30 tahun Rabi’ah terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Puisi Rabi’ah al Adawiyah – 4

Rabi’ah menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Puisi Rabi’ah al Adawiyah – 3

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 113 other followers

%d bloggers like this: