Menangani masalah kencing tak terkawal

Masalah kencing tak terkawal atau masalah kebocoran kencing ini merupakan fenomena yang biasa bagi kebanyakan wanita terutamanya yang telah berumur. Banyak faktor penyebabnya, terutamanya disebabkan oleh kelemahan pundi kencing atau dikenali sebagai inkontinens. Masalah ini menyebabkan seseorang itu takut untuk minum banyak kerana takut kencing keluar tak sempat sampai ke tandas.

Artikel berikut menerangkan dengan terperinci tentang masalah kebocoran kencing tak terkawal ini…..

Mengawal masalah kencing tidak terkawal

Ada orang terutama wanita tidak suka minum banyak kerana tidak mahu berulang alik ke tandas terutama ketika bekerja.

Tahukah anda dalam tempoh itu kita sepatutnya buang air kecil sebanyak tiga hingga empat kali atau sekali bagi setiap dua hingga tiga jam?

Maknanya dalam sehari semalam, kita perlu membuang air sebanyak lapan kali dan tidak melebihi sekali selepas masuk tidur.

Bagaimanapun, ada sesetengah orang yang mengalami masalah kebocoran kencing sebelum sempat sampai ke tandas dan perkara ini membuatkan mereka berasa tertekan.

Malah kebocoran kencing (terkencing sedikit) turut berlaku apabila batuk, bersin, ketawa atau ketika bangun daripada duduk. Keadaan ini disebabkan masalah pundi kencing lemah atau inkontinens yang biasanya berlaku pada wanita khususnya dalam lingkungan umur 35 tahun ke atas.

Masalah lemah kawalan pundi kencing menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal kebocoran air kencing dan sering mengalami desakan memuncak untuk pergi ke tandas, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian.

Kajian menunjukkan 10 hingga 30 peratus masalah ini dilaporkan dialami wanita dalam lingkungan usia 15 hingga 64 tahun dan soal selidik yang dijalankan di 11 negara di Asia mendapati kadar kelaziman masalah pundi kencing lemah di kalangan wanita dua kali lebih tinggi berbanding lelaki.

Perkara ini bukan saja menyebabkan wanita enggan terbabit dalam kegiatan masyarakat, malah tidak mahu keluar rumah kerana malu.

Bahkan jika mahu ke mana-mana, mereka pastikan tempat bakal dikunjungi ada tandas awam yang bersih.

Apabila masalah ini berlaku, ramai wanita kurang minum air dan mengelak mengambil makanan mengandungi banyak air.

Mereka berpendapat dengan kurang minum air, masalah ini berkurang. Bagaimanapun, ia tidak menyelesaikan masalah ini, sebaliknya menyebabkan air kencing menjadi lebih pekat.

Air kencing pekat yang berwarna oren menandakan badan kita mengalami dehidrasi atau kekurangan air.

Ia bukan petanda baik kerana kekurangan air menjejaskan fungsi organ dalam badan. Ia juga menyebabkan pelbagai masalah lain kerana kita berasa cepat letih, mengantuk, sukar memberi tumpuan dan kurang bermaya.

Keadaan lemah kawalan pundi kencing terjadi apabila wujud masalah pada otot
dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing.

Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah (umumnya disebabkan kelahiran anak) dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.

Kelemahan otot lantai pelvis mungkin juga disebabkan faktor kesihatan, obesiti, sembelit, kesan sampingan pelbagai ubat-ubatan dan menopaus.

Pundi kencing bertindak sebagai tempat menyimpan air kencing dan boleh mengembang untuk menampung sehingga 350 hingga 550 mililiter air kencing.

Kita biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 150 hingga 200 mililiter.

Desakan buang air kecil meningkat (normal) apabila isi pundi kencing bertambah kepada 250 hingga 300 mililiter dan apabila ia mencapai 500 mililiter, pundi kencing perlu dikosongkan segera. Proses pembuangan air kencing membabitkan dua peringkat iaitu pengisian dan penyimpanan air kencing dan peringkat kedua ialah pengosongan pundi kencing.

Ketika pembuangan air kencing, otot yang ‘memegang’ pundi (dipanggil otot sphincter) dalam keadaan rehat, manakala otot pundi kencing pula mengecut supaya air kencing boleh ditolak keluar memasuki salur kencing (uretra).

Untuk betul-betul mengosongkan pundi kencing, otot pundi dan spinchter perlu bertindak serentak. Kegagalan pada mana-mana bahagian, sama ada pada pundi, otot spinchter atau saraf, menyebabkan masalah ini.

Namun bagi orang yang ada masalah lemah pundi kencing, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun pundi kencing tidak penuh.

Punca

Dr Seri Suniza berkata, beberapa perkara boleh merangsang masalah lemah kawalan pundi kencing iaitu:

* Otot pundi kencing terlalu aktif.
* Otot pelvik (yang menyokong pundi kencing, rahim dan rektum) lemah
* Gangguan sistem saraf


Punca kelemahan pundi kencing boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu jangka pendek dan jangka panjang.

Punca jangka pendek:

* Jangkitan saluran kencing (sangat lazim)
* Jangkitan atau keradangan vagina
* Sembelit
* Kehamilan dan melahirkan anak

Punca jangka panjang:

* Selepas menopaus (akibat perubahan hormon)
* Berlaku perubahan akibat penuaan
* Pernah menjalani pembedahan atau kecederaan pelvik
* Menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, strok, Alzheimer atau Parkinson
* Kecacatan sejak lahir

Jenis

Masalah ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

* Tekanan – Pelepasan beberapa titik air kencing sewaktu pergerakan fizikal (batuk, bersin, bersenam).
* Desakan – Pelepasan air kencing pada kadar yang banyak di luar jangkaan, termasuk sewaktu tidur.
* Pundi kencing terlalu aktif n Kerap dan tidak dapat menahan air kencing, sama ada dengan atau tanpa kawalan.
* Batasan fungsi – Kencing yang tidak teratur disebabkan kecacatan fizikal, halangan luaran atau masalah pemikiran atau berkomunikasi yang menghalang seseorang dari sampai ke tandas.
* Melimpah – Pelepasan kecil air kencing di luar jangkaan kerana pundi kencing penuh.
* Gabungan – Biasanya berlaku disebabkan tekanan dan kegagalan mengawal kencing
* Tidak tetap – Pelepasan yang berlaku secara sementara (disebabkan jangkitan, pengambilan ubatan yang baru, demam dan batuk)

Kumpulan berisiko

Antara kumpulan yang berisiko mengalami masalah ini ialah:

* Wanita
* Melahirkan anak, terutama jika proses bersalin mengambil masa lama, bayi dilahirkan besar atau kerap bersalin
* Obesiti

Rawatan

Masalah inkontinens bukan saja memalukan, tetapi membuatkan seseorang berasa rendah diri, tidak selesa, tertekan dan murung, malah menjadi isu penting dalam aspek kebersihan, terutama bagi wanita beragama Islam untuk beribadat.

Ia juga mampu memberi kesan psikologi lebih besar kepada wanita sehingga ada yang perlu mengubah gaya hidup dan mengelak terbabit dalam kegiatan sosial kerana bimbang dan malu jika masalah mereka diketahui.

Oleh kerana pundi kencing dan vagina terletak berdekatan, masalah ini turut memberi kesan terhadap hubungan seks. Ada wanita mengadu suami menolak untuk
bersama.

Ramai wanita tidak membincangkan masalah mereka dengan orang lain, termasuk suami, kerana ia dianggap memalukan dan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan.

Namun ada banyak kaedah boleh membantu mengatasi masalah ini. Ia boleh menyebabkan wanita mengalami banyak masalah lain seperti jangkitan, ruam, gatal, tidak selesa dan kadangkala sakit kerana kawasan berkenaan sentiasa lembap.

Masalah lemah kawalan pundi kencing bukan penyakit, ia tetap perlu dirawat kerana ia sebenarnya adalah gejala akibat masalah kesihatan lain.

Bagaimanapun, hanya satu pertiga datang mendapatkan rawatan kerana 50 peratus mendakwa masalah itu tidak menjejaskan hidup mereka, 30 peratus berkata boleh bertahan dengan keadaan itu dan tiga peratus lagi mengakui berasa terganggu.

Kaedah rawatan awal ialah mengubah gaya hidup iaitu:

* Jaga pemakanan – Kurangkan berat badan jika anda gemuk.
* Kurangkan pemakaian korset (kerana ia akan menekan lantai pelvik ke bawah).
* Pakai baju longgar.
* Elak pengambilan sesetengah jenis ubat dan minuman mengandungi kafein (ia bersifat diuretik yang merangsang pembuangan air kecil).
* Kurangkan aktiviti fizikal hinggalah masalah dapat dikawal.
* Buat diari buang air kecil bagi membolehkan doktor meneliti masalah anda. Dalam diari ini catatkan berapa banyak air anda minum, jenis minuman, berapa kerap anda buang air kecil dan berapa banyak air kencing anda. Jangan tahan kencing terlalu lama, jadikan amalan untuk pergi ke tandas setiap dua hingga tiga jam.
* Melakukan senaman kegel untuk menguatkan otot lantai pelvik.

Sumber: Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: