Mengenal penyakit hati (hepa)

Penyakit hati ialah sebarang gangguan terhadap fungsi (hepa) yang menyebabkan sakit atau hati gagal berfungsi dengan normal. Selalunya lebih 75% kerosakan tisu hati barulah ia gagal berfungsi.

Hati sebagai organ yang penting

Hati merupakan organ yang terbesar dalam tubuh manusia atau haiwan lain. Hati juga adalah satu-satunya organ yang mudah diganti apabila tisunya rosak. Ia terletak di bahagian atas abdomen dan dilindungi oleh tulang sangkar dada dan rusuk. Hati mempunyai 2 lobus (cuping) yang utama, yang dibekalkan oleh dua saluran darah iaitu arteri hepatik (membekalkan darah ke hati yang dipam dari jantung) dan vena portal.

Di antara fungsi vena portal di hati ialah:

* Membekalkan hati dengan nutrien dari usus dan limpa.

* Membenarkan bahan kimia dari saluran penghadaman memasuki hati untuk dinyahtoksikkan dan ditapis sebelum ia memasuki sistem peredaran darah ke seluruh badan.

* Menghantar bahan kimia dan protein yang diperlukan oleh sel hati bagi menghasilkan protein, kolesterol dan glikogen untuk keperluan badan.

Liver

Hati memainkan peranan penting dan berkait rapat dengan fungsi organ-organ lain dalam tubuh kita, dari penghasilan protein dan pembekuan darah hinggalah ke metabolisma kolesterol, glukosa dan zat besi (ferum). Hati juga merupakan organ yang berfungsi sebagai kelenjar kerana ia menghasilkan air hempedu.

Hati mempunyai banyak fungsi, di antara yang penting ialah:

1. Menghasilkan air hempedu yang diperlukan bagi penghadaman makanan berlemak.

2. Menyimpan glukosa atau gula berlebihan dalam badan dalam bentuk glikogen dalam sel hati, dan glikogen ini boleh ditukarkan semula kepada glukosa apabila badan memerlukan tenaga.

3. menghasilkan faktor pembekuan darah.

4. Menghasilkan asid amino (struktur asas protein).

5. Memproses dan menyimpan zat besi (ferum) yang diperlukan bagi menghasilkan sel darah merah.

6. Menghasilkan kolesterol dan bahan kimia lain yang diperlukan untuk pengangkutan lemak.

7. Menukarkan hasil buangan daripada proses metabolisma badan menjadi urea.

8. Menukarkan ubat-ubatan yang diambil kepada bahan aktifnya semasa di dalam badan.

Simptom Penyakit Hati (Hepa)

Simptom (tanda) biasa penyakit hati, di antaranya ialah:

1. Loya.

2. Muntah.

3. Sakit perut di bahagian atas kanan abdomen.

4. Jaundice (sakit kuning) – kulit berwarna kuning disebabkan kepekatan bilirubin dalam saluran darah tinggi.

5. Keletihan, lemah dan turun berat badan.

6. Bagi Cirrhosis, simptomnya lebih khusus, seperti:

i. Kulit mudah lebam kerana kurangnya pengeluaran faktor pembekuan darah.

ii. Gatal-gatal kulit kerana garam hempedu boleh berkumpul dalam kulit.

iii. Gynecomastia atau buah dada lelaki membesar kerana hormon seks yang tidak seimbang, terutamanya disebabkan oleh peningkatan hormon estradiol.

iv. Mati pucuk, kurang nafsu seks, dan testis mengecil kerana pengurangan fungsi hormon seks.

v. Kekeliruan dan kelesuan disebabkan oleh peningkatan tahap ammonia (hasil buangan daripada metabolisma protein yang memerlukan hati untuk membuangnya) dalam saluran darah dan pengumpulan cecair dalam kaviti abdomen kerana pengurangan protein yang dihasilkan.

Jenis-jenis Kerosakan Hati

Di antara jenis-jenis kerosakan hati ialah:

1. Hepatitis – Sel hati menjadi radang.

2. Kolestasis – Aliran air hempedu tersekat.

3. Steatosis – Pengumpulan Kolesterol atau triglyceride.

4. Aliran darah ke hati terganggu.

5. Tisu hati rosak disebabkan oleh bahan kimia dan mineral atau sel abnormal.

Jenis-Jenis Penyakit Hati

Terdapat beberapa jenis penyakit hati, di antaranya ialah:

1. Hepatitis Berjangkit

Hepatitis bermakna keradangan sel hati disebabkan jangkitan.

Terdapat 5 jenis hepatitis, iaitu:

a. Hepatitis A

Hepatitis A ialah infeksi virus dan berjangkit melalui najis. Ia boleh menyebabkan keradangan hati akut yang selalunya boleh dirawat dengan suntikan vaksin. Jangkitan hepatitis A boleh dicegah dengan membasuh tangan bersih-bersih sebelum menyediakan makanan.

b. Hepatitis B

Hepatitis B berjangkit melalui cecair badan (melalui jarum suntikan penagih dadah, darah tercemar dengan virus hepatitis B, dan hubungan seks). Ia boleh menyebabkan infeksi akut atau boleh bertukar menjadi keradangan kronik yang akhirnya boleh membawa kepada cirrhosis dan kanser hati. Infeksi hepatitis B boleh dicegah dengan vaksin Hepatitis B.

c. Hepatitis C

Hepatitis C boleh menjadi hepatitis kronik. Ia berjangkit melalui cecair badan (melalui jarum suntikan penagih dadah, darah tercemar dengan virus hepatitis ini, dan hubungan seks). Hepatitis C kronik boleh menyebabkan cirrhosis dan kanser hati. Tidak seperti virus hepatitis B, virus hepatitis C tidak boleh dimusnahkan dengan suntikan vaksin.

d. Hepatitis D

Virus hepatitis D ini memerlukan virus hepatitis B untuk hidup, dan ia juga berjangkit melalui cecair badan (melalui jarum suntikan penagih dadah, darah tercemar dengan virus hepatitis B, dan hubungan seks).

e. Hepatitis E

Virus hepatitis E berjangkit melalui makanan dan air yang tercemar dengan virus ini.

2. Penyakit hati berlemak

Pengumpulan lemak dalam hati yang boleh menyebabkan keradangan hati dan perlahan-lahan akan mengurangkan fungsi hati.

3. Hemochromatosis (terlebih zat besi)

Hemochromatosis ialah gangguan metabolik yang menyebabkan banyak zat besi disimpan dalam badan. Zat besi yang berlebihan akan berkumpul dalam tisu hati, pankreas, jantung dan akan menyebabkan keradangan, cirrhosis, kanser hati dan kegagalan hati berfungsi. Hemochromatosis ini adalah penyakit keturunan.

4. Penyakit Wilson

Penyakit Wilson merupakan satu lagi penyakit keturunan yang mengganggu metabolisma kuperum (copper). Penyakit ini boleh juga menyebabkan cirrhosis dan kegagalan hati berfungsi.

5. Penyakit Gilbert

Penyakit Gilbert ialah ketidaknormalan dalam metabolisma bilirubin di dalam hati yang merupakan penyakit biasa. Penyakit ini tidak menunjukkan apa-apa simptom tetapi ia boleh didiagnosis dengan kenaikan paras bilirubin dalam darah. Penyakit ini tidak memerlukan apa-apa rawatan.

6. Kanser hati

Kanser hati primer berasal daripada sel dan struktur hati sendiri (contohnya, hepatocellular carcinoma). Kanser hati sekunder atau kanser metastatik pula bermula dari organ lain dan kemudian berjangkit ke hati melalui saluran darah. Kanser yang biasa berjangkit ke hati ialah kanser paru-paru, kanser payudara, kanser kolon, kanser perut, kanser pankreas, leukimia dan Hodgkin lymphoma.

7. Sindrom Budd Chiari – Ketaknormalan aliran darah

Sindrom ini adalah disebabkan oleh darah beku yang terbentuk di dalam vena hepatik dan menghalang darah keluar dari hati. Ini akan meningkatkan tekanan dalam saluran darah di dalam hati, terutamanya dalam vena portal. Tekanan ini boleh menyebabkan sel hati mati atau cirrhosis dan kegagalan hati berfungsi. Di antara penyebab kepada sindrom ini ialah polycythemin (kiraan sel darah merah naik secara abnormal), penyakit sel sabit, dan kehamilan.

Penyakit-Penyakit Lain Yang Berkaitan

Penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan kerosakan hati, di antaranya ialah:

1. Hepatic encephalopathy

Penyakit ini terjadi apabila paras ammonia meningkat disebabkan oleh kegagalan hati memproses dan mensintesis protein daripada makanan. Ini boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan, atau dalam keadaan teruk boleh terus koma.

2. Pendarahan abnormal

Oleh kerana hati bertanggung-jawab menghasilkan faktor pembekuan darah, kegagalan hati berfungsi menyebabkan meningkatnya risiko pendarahan dalam abdan.

3. Sintesis protein

Kegagalan hati berfungsi mensintesis protein akan menyebabkan kekurangan protein yang akan memberi kesan kepada fungsi bahagian badan yang lain.

4. Hipertensi portal

Kerosakan tisu hati akan meninggikan tekanan dalam saluran darah di dalam hati dan ini memberi kesan buruk kepada aliran darah ke organ-organ lain. Ini akan menyebabkan limpa membengkak dan vena juga membengkak di saluran penghadaman dari esofagus hinggalah ke anus (dubur).

Penyebab Penyakit Hati

Di antara penyebab sakit hati (hepa) ialah:

1. Alkohol

Alkohol adalah toksik (beracun) kepada sel hati dan boleh menyebabkan keradangan hati dan pengumpulan lemak dalam hati.

2. Cirrhosis

Cirrhosis merupakan penyakit hati tahap akhir yang menyebabkan parut kekal pada hati. Ini disebabkan sel hati normal digantikan oleh tisu parut yang menyebabkan keradangan hati dan akhirnya hati gagal berfungsi.

liver_disease

3. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan boleh merosakkan sel hati sama ada sementara atau kekal. Sesetengah ubat yang terlebih dos boelh menyebabkan kecederaan hati dan seterusnya merosakkan sel hati.

Contoh:

a. Pengambilan berlebihan acetaminophen (seperti Tylenol, Panadol) boleh menyebabkan kegagalan hati berfungsi.

b. Ubatan statin yang berlebihan bagi mengawal kolesterol dalam darah juga boleh menyebabkan keradangan hati. Tahap keradangan sel hati ini boleh diketahui dengan melakukan ujian kandungan enzim hati dalam darah.

c. Antibiotik (seperti Nitrofurantoin, amoxicillin, clavulanic acid, tetracycline) juga boleh menyebabkan keradangan sel hati.

d. Sesetengah ubat-ubatan tradisional dengan jumlah vitamin yang berlebihan (terutamanya vitamin A) juga boleh menyebabkan hepatitis, cirrhosis dan kegagalan hati berfungsi.

e. Kebanyakan cendawan/kulat adalah toksik kepada hati. Oleh itu, berhati-hatilah makan cendawan yang dipungut liar yang jarang ditemui kerana ia boleh membawa mudharat atau maut.

Oleh itu, hindarilah penyebab kepada sakit hati ini. Rawatan penyakit hati ini berbeza-beza bergantung kepada jenis dan penyebabnya.

Rujukan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: