Petikan kitab Asrar Al- Arifin ~ Hamzah Al-Fansuri – 3

– Sambungan dari sebelumnya – iaitu syarahan bagi 15 bait bagi menuju makrifat Allah… semoga bermanfaat kepada sesiapa yang berminat dalam Ilmu Allah ini.

Nota: Sekiranya kurang faham, sila bertanya dan berguru kepada yang lebih Arif dalam ilmu ini…

Bab: Tuhan kita itu Yang Empunya Zat

– yakni Zat semata, tiada dengan Sifat. Pada suatu ibarat, Wajibul Wujud dinamai oleh ulama kerana Dia Qadim dengan sendiri-Nya, tiada dengan lain, sebab itu dinamai dengan Wajibul Wujud. Kata ahli salik, sesungguhnya Dia Qadim sendiri tetapi Dia Memberi Wujud akan sekalian alam, maka dinamai Wajibul Wujud kerana Wujud dengan Zat, Esa hukumnya.

Adapun kata ulama syariat, Zat Allah dengan Wujud Allah dua hukumnya, wujud ilmu dengan alim dua hukumnya, wujud alam dengan alam dua hukumnya, wujud alam lain Wujud Allah lain. Adapun Wujud Allah dengan Zat Allah misalnya (seperti) matahari dengan cahayanya. Sesungguhnya Asma’ penglihatan mata dan penglihatan hati pada hakikatnya dua hukumnya, matahari lain cahayanya lain. Adapun alam, maka dikatakan wujudnya lain kerana alam seperti bulan beroleh cahayanya daripada matahari. Sebab itulah maka dikatakan wujud alam adalah lain daripada Wujud Allah, Wujud Allah dengan Zat Allah juga lain.

Maka kata ahli salik, jika demikian, Allah Taala di luar alam atau di dalam alam dan dekat, atau hampir kepada alam atau jauh daripada alam yang dapat dekat. Pada kami, Zat Allah dengan Wujud Allah, Esa hukumnya. Wujud Allah dengan wujud alam atau wujud alam dengan alam, Esa hukumnya, seperti cahayanya, namanya jua, lagi pada hakikatnya tiada lain. Pada penglihatan mata Esa, pada penglihatan hati pun Esa. Wujud alam pun demikian, lagi dengan Wujud Allah Yang Esa, kerana alam tiada wujud sendirinya. Sungguhpun pada zahirnya ada Dia berwujud, tetapi wahmi (sangkaan) jua bukan wujud hakiki, seperti bayang-bayang dalam cermin rupanya ada, hakikatnya tiada. Ada pun ittifaq ulama dan ahli salik pada Zat semata-mata.

Sungguhpun Zat dapat diibaratkan, tetapi tiada lulus pada ibarat Zat, tiada di atas (melebihi) akan dia, tiada di bawah akan dia, tiada dahulu akan dia, tiada kemudian akan dia, tiada kanan akan dia, tiada kiri akan dia, tiada jauh akan dia, tiada hampir akan dia, tiada di luar akan dia, tiada di dalam akan dia, tiada bercerai akan dia, tiada bertemu akan dia, tiada di mana dan tiada ke mana, tiada sekarang dan tiada sekejap masa, tiada ketika dan tiada masa, tiada Dia jadi dan tiada Dia menjadi, tiada Dia tempat dan tiada bertempat, seperti sabda Rasulullah SAW: “Kaanallahu laa syaiun ma’ahu“, yang mafhumnya: “Dahulu Allah tiada suatu beserta-Nya pun.”

Kata Syeikh Junaid Al-Baghdadi rahimahullah: “Huwal aana kama kaana” yakni “Tuhan sekarang pun seperti dahulu juga.”

Firman Allah SWT: “Subhanallahu a’mma yasifuun” yang bermaksud: “Maha Suci Allah, tiada dapat diperikan.”

Firman Allah SWT lagi: “Laisa kamislihi syaiun” yang bermaksud: “Tiada suatu pun (barang yang kita bicarakan dengan hati kita atau dengan makrifat kita) seumpama dengan-Nya. Makrifat itu bukan makrifat Zat tetapi keadaan Zat dengan perinya juga. Sebab inilah kata ahli salik, Zat dengan keadaan Esa tetapi yang Kunhinya Zat, tiada siapa yang datang (sampai) ke sana. Jangankan orang awam, wali dan nabi dan malaikat muqarabin pun tiada datang (sampai) ke sana.

– akan bersambung dengan bab seterusnya –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: