Ilmu yang bermanfaat ~ Imam Al-Ghazali

“Ilmu yang memberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala; ( ilmu ) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu; (ilmu) yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya; (ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia; (ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat; (ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya; (ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaitan dan tipuannya.” ~ Imam Al-Ghazali

Petikan Buku: Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah).

Peliharalah mata ~ Imam Al-Ghazali

“Peliharalah matamu daripada 4 perkara:

1. Melihat perempuan yang bukan muhram.
2. Melihat gambar-gambar lucah yang membangkitkan syahwat.
3. Melihat orang lain dengan pandangan penghinaan.
4. Melihat-lihat keaiban orang lain.

Ingatlah, semua anggotamu akan bersaksi ke atas segala perbuatanmu di padang mahsyar kelak dengan menuturkan perkataan yang lancar dan terang. Anggotamu akan mendedahkan segala rahsiamu di hadapan perhimpunan agung di padang mahsyar (QS An-Nur: 24 dan QS Yaasin:25)

~ Imam Al-Ghazali
Petikan Buku: Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah).

Meninggalkan maksiat mengerjakan taat ~ Imam Al-Ghazali

“Agama itu terdiri daripada dua bahagian, iaitu meninggalkan maksiat dan mengerjakan taat. Meninggalkan maksiat adalah lebih berat daripada mengerjakan taat kerana mengerjakan taat senang dibuat oleh setiap orang tetapi meninggalkan maksiat hanya dapat dilaksanakan oleh orang-orang sidiqqin.” ~ Petikan Buku: Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) ~ Imam Al-Ghazali.

Tanda orang bersifat ujub dan takbur ~ Imam Al-Ghazali

“Tanda yang nampak pada orang yang ujub dalam majlis orang ramai ialah selalu suka mengangkat dirinya dan menganggapnya lebih berkebolehan daripada orang lain dan ia suka menonjolkan dirinya dalam perbincangan dan tidak senang kalau ada orang lain menolak pendapatnya. Orang yang takbur pula ialah tidak senang apabila ia diberi nasihat dan menggunakan bahasa yang kasar kalau ia memberi nasihat kepada orang lain. Maka sesiapa yang menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain, maka orang itu bersifat takbur.” ~ Imam Al-Ghazali (Petikan Buku: Bidayatul Hidayah).

Sifat yang membinasakan seseorang ~ Imam Al-Ghazali

“Ada tiga sifat yang dapat membinasakan seseorang, iaitu sifat bakhil yang dipatuhi, hawa nafsu yang diikuti, dan merasa bangga dengan diri sendiri.” ~ Imam Al-Ghazali

Petikan Buku: Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah).