Khasiat minyak zaitun

Semua sedia maklum bahawa penggunaan minyak zaitun dalam makanan sangat baik untuk menjaga kesihatan jantung (kardiovaskular), mengurangkan kolesterol dan penjagaan kulit.

Dalam Islam pun minyak dan buah zaitun adalah makanan yang diberkati dan berkhasiat yang disebut dalam beberapa ayat dalam al-Quran. Hadis Nabi s.a.w juga ada menyebut tentang kelebihan minyak zaitun.

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda: “Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati.” (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah).

Di dalam riwayat lain menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa menggosok (badannya) dengan minyak zaitun, syaitan tidak akan mendekatinya.”

Tambahan kepada itu, baru-baru ini kajian saintifik menunjukkan bahawa minyak zaitun (virgin extra olive oil) baik untuk kesihatan tulang iaitu menjadikan tulang lebih kuat. Penemuan ini diterbitkan dalam The Journal of Clinical Endocrinology and Metabolism. Penemuan ini mungkin boleh dikaitkan dengan fenomena di mana kadar osteoporosis adalah rendah di kalangan penduduk yang mendiami kawasan Mediterranean yang rata-rata banyak menggunakan minyak zaitun dalam makanan mereka.

Minyak zaitun yang sedap dan berkualiti baik ialah yang dipasarkan dalam botol berwarna hitam atau gelap. Belilah dalam kuantiti yang sedikit supaya ia sempat digunakan sebelum ia rosak. Jangan simpan di tempat yang panas dan terdedah kepada cahaya. Simpanlah dalam kabinet supaya ia tahan lama.

Rujukan

Leave a comment