Petikan kitab Asrar Al- Arifin ~ Hamzah Al-Fansuri – 3

– Sambungan dari sebelumnya – iaitu syarahan bagi 15 bait bagi menuju makrifat Allah… semoga bermanfaat kepada sesiapa yang berminat dalam Ilmu Allah ini.

Nota: Sekiranya kurang faham, sila bertanya dan berguru kepada yang lebih Arif dalam ilmu ini…

Bab: Tuhan kita itu Yang Empunya Zat

– yakni Zat semata, tiada dengan Sifat. Pada suatu ibarat, Wajibul Wujud dinamai oleh ulama kerana Dia Qadim dengan sendiri-Nya, tiada dengan lain, sebab itu dinamai dengan Wajibul Wujud. Kata ahli salik, sesungguhnya Dia Qadim sendiri tetapi Dia Memberi Wujud akan sekalian alam, maka dinamai Wajibul Wujud kerana Wujud dengan Zat, Esa hukumnya.

Adapun kata ulama syariat, Zat Allah dengan Wujud Allah dua hukumnya, wujud ilmu dengan alim dua hukumnya, wujud alam dengan alam dua hukumnya, wujud alam lain Wujud Allah lain. Adapun Wujud Allah dengan Zat Allah misalnya (seperti) matahari dengan cahayanya. Sesungguhnya Asma’ penglihatan mata dan penglihatan hati pada hakikatnya dua hukumnya, matahari lain cahayanya lain. Adapun alam, maka dikatakan wujudnya lain kerana alam seperti bulan beroleh cahayanya daripada matahari. Sebab itulah maka dikatakan wujud alam adalah lain daripada Wujud Allah, Wujud Allah dengan Zat Allah juga lain.

Maka kata ahli salik, jika demikian, Allah Taala di luar alam atau di dalam alam dan dekat, atau hampir kepada alam atau jauh daripada alam yang dapat dekat. Pada kami, Zat Allah dengan Wujud Allah, Esa hukumnya. Wujud Allah dengan wujud alam atau wujud alam dengan alam, Esa hukumnya, seperti cahayanya, namanya jua, lagi pada hakikatnya tiada lain. Pada penglihatan mata Esa, pada penglihatan hati pun Esa. Wujud alam pun demikian, lagi dengan Wujud Allah Yang Esa, kerana alam tiada wujud sendirinya. Sungguhpun pada zahirnya ada Dia berwujud, tetapi wahmi (sangkaan) jua bukan wujud hakiki, seperti bayang-bayang dalam cermin rupanya ada, hakikatnya tiada. Ada pun ittifaq ulama dan ahli salik pada Zat semata-mata.

Sungguhpun Zat dapat diibaratkan, tetapi tiada lulus pada ibarat Zat, tiada di atas (melebihi) akan dia, tiada di bawah akan dia, tiada dahulu akan dia, tiada kemudian akan dia, tiada kanan akan dia, tiada kiri akan dia, tiada jauh akan dia, tiada hampir akan dia, tiada di luar akan dia, tiada di dalam akan dia, tiada bercerai akan dia, tiada bertemu akan dia, tiada di mana dan tiada ke mana, tiada sekarang dan tiada sekejap masa, tiada ketika dan tiada masa, tiada Dia jadi dan tiada Dia menjadi, tiada Dia tempat dan tiada bertempat, seperti sabda Rasulullah SAW: “Kaanallahu laa syaiun ma’ahu“, yang mafhumnya: “Dahulu Allah tiada suatu beserta-Nya pun.”

Kata Syeikh Junaid Al-Baghdadi rahimahullah: “Huwal aana kama kaana” yakni “Tuhan sekarang pun seperti dahulu juga.”

Firman Allah SWT: “Subhanallahu a’mma yasifuun” yang bermaksud: “Maha Suci Allah, tiada dapat diperikan.”

Firman Allah SWT lagi: “Laisa kamislihi syaiun” yang bermaksud: “Tiada suatu pun (barang yang kita bicarakan dengan hati kita atau dengan makrifat kita) seumpama dengan-Nya. Makrifat itu bukan makrifat Zat tetapi keadaan Zat dengan perinya juga. Sebab inilah kata ahli salik, Zat dengan keadaan Esa tetapi yang Kunhinya Zat, tiada siapa yang datang (sampai) ke sana. Jangankan orang awam, wali dan nabi dan malaikat muqarabin pun tiada datang (sampai) ke sana.

– akan bersambung dengan bab seterusnya –

Petikan kitab Asrar Al- Arifin ~ Hamzah Al-Fansuri – 2

Berikut dipaparkan syarahan bagi 15 bait bagi menuju makrifat Allah yang telah disebutkan sebelum ini… semoga bermanfaat kepada sesiapa yang berminat dalam Ilmu Allah ini.

1. Ahu segala kita yang menyembah Nama

Sayugia diketahui yang pertama yakni Nama Allah SWT, kerana pada hukum syariat, barangsiapa mengucap Laaila ha illallah Muhammadul Rasulullah dengan lidahnya Islam hukumnya pada hatinya…. wallahu a’lam, seperti sabda Nabi SAW yang mafhumnya: “Barangsiapa mengucap Laaila ha ilallah masuk syurga (terlalu mudah)” dan lagi sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Barangsiapa mengucap Laaila ha ilallah dengan suci hatinya masuk syurga.”

Oleh kerana Nama dan Yang Empunya Nama Esa, apabila Nama disebut maka serasa yang menyebut dengan Yang Empunya Nama. Pada hakikatnya, sayugia diketahui Yang Empunya Nama maka sempurna Islam mu, seperti orang ke benua China dan mendengar nama Raja China juga dan Raja China pun dilihatnya. Nama Raja China pun didengarnya, kedua-duanya diperolehnya. Sebab itu kepada hakikat, sayugia diketahui dan dikenali namaNya yang dinamai Allah, kerana firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Barangsiapa yang tiada mengenal Allah di sini, di akhirat pun tiada kenal (dan lebih jauh ia dari jalan yang benar).”

Kerana itu, kata ahli salik akan orang yang tiada mengetahui Allah tetapi menyebut Nama Allah dengan ikhlas hatinya, iaitu Islam hukumnya. ittifak ulama dan ahli salik akan orang yang mengetahui, khas hukumnya. Orang yang mengenal Allah, Khasul Khas hukumnya kerana orang yang mengenal Allah Taala lebih baik daripada orang yang mengetahui Allah, seperti sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya: ” Sembah Tuhanmu seperti kau lihat Dia (ibarat ini kepada orang yang mengenal Allah), dapat dikata juga “Faillam takun tarohu fainnahu yaraka” yang mafhumnya: “Jika tiada engkau melihat Dia, bahawa Dia melihat engkau (ibarat ini kepada orang yang mengetahui Allah). Lagi Firman Allah lagi yang mafhumnya: “Sembah Tuhanmu hingga memberi dikau nyata (nyata bermakna tiada syak di dalamnya), inilah makna menyembah Nama.

Bab: Diketahui apa yang pertama

– yakni tatkala bumi dan langit belum ada, Arasy dan Kursi belum ada, syurga dan neraka belum ada, semesta sekalian alam pun belum ada, apa yang pertama? Yang pertama ialah Zat semata, sendiriNya, tiada dengan Sifat, tiada dengan Asma’Nya, itulah yang pertama. Adapun nama Zat itu Hu, makna Hu itu Ismu Isyaratin kepada Zat tiada dengan Sifat. Adapun Nama Allah rendah sepangkat daripada Nama Hu, tetapi (Nama Allah itu) perhimpunan segala nama seperti seorang Muhammad namanya. Jika ia berilmu, alim namanya; jika ia pandai, utusan namanya; jika ia tahu menyurat, khatib namanya; jika ia berniaga, saudagar namanya. Sekalian nama di bawah nama ini Muhammad jua kerana perhimpunan sekalian (nama itu) akan Nama Allah SWT. Yang Menjadikan Makhluk, Khaliq namaNya; Yang Memberi Rezeki, Razak namaNya; Yang menjadikan dengan hikmatNya, Hakim namaNya. Sekalian nama ini di bawah nama Allah jua kerana nama Allah perhimpunan segala nama, tetapi nama Hu tertinggi daripada nama Allah. Adapun Zat lebih tinggi daripada nama Hu itu. Barangsiapa yang tahu maknanya ini, tahu ia akan yang pertama itu.

Bab: Kerana Tuhan Kita yang Sedia Lama

– yakni qadim sidi, tiada dapat dibicarakan sekian lamanya yakni Qadim tiada dengan qadimNya, Awal tiada dengan awalNya. Sidi ada, tiada lulus bicara kepada QadimNya itu melainkan (bicara) ahli kasyaf jua. Adapun kata ahli kasyaf, QadimNya itu mithal (suatu) buah (yang) bundar (bulat), tiada berhujung dan tiada berpohon, tiada permulaan dan tiada kesudahannya, tiada tengah dan tiada tepinya, tiada hadapan dan tiada belakangnya, tiada kiri dan tiada kanannya, tiada atas dan tiada bawahnya, inilah makna Qadim Sidi. Jika ditamsilkan (ibarat) daerah pun dapat (boleh) kerana daerah tiada berawal dan tiada berakhir, kalau awal pun boleh dikatakan akhir, kalau akhirpun boleh dikatakan awal, sayugia perlu mengetahui Qadim Allah dengan sempurnanya. Inilah makna Qadim Sidi Lama. Betapa dapat bertemu dengan makrifat Allah Taala jika tiada tahu akan Qadim Sidi.

Bab: Dengan Ketujuh-tujuh Sifat bersama

– yakni tiada bercerai dengan ketujuh-tujuh sifatNya. Sungguhpun dikatakan Zat Allah Yang Pertama, tetapi ibarat musykil, yakni jadi ia bercerai dengan ketujuh-tujuh sifatNya, Nafas hukumnya. Adapun kepada ulama syariat, Sifat Allah Ain, Zat Allah pun tiada, Ain Zat pun tiada. Adapun pada kata ahli salik, sifat Ain Zat. Misalnya, seseorang kerana ilmunya maka bernama alim, kerana qudratnya maka bernama qadirun, kerana iradatnya maka bernama murid, kerana katanya maka bernama mutakalimin, kerana pendengarannya maka bernama sama’, kerana penglihatannya maka bernama Basar. Adapun ibaratnya juga lain daripada Zat Asli.

Nama sifat yang tujuh itu ialah:

1. Hayat
2. Alim
3. Iradat
4. Qudrat
5. Kalam
6. Sama’
7. Basar

Zat dengan ketujuh-tujuh sifat ini tidak bercerai. Adapun Sifat yang lain banyak tidak terhitung, tetapi sifat-sifat yang lain itu pun termasuk dalam sifat yang tujuh ini kerana yang tujuh sifat ini tinggi daripada sekalian sifat itu, seperti juga nama Allah yang menjadi perhimpunan segala nama. Sifat yang tujuh ini juga adalah perhimpunan segala Sifat. Apabila tahu akan makna tujuh sifat itu, maka dapat dengan sempurna Kenal Allah.

– Bersambung di atas-

Petikan kitab Asrar Al- Arifin – Hamzah Al-Fansuri – 1

Saya ingin berkongsi isi kandungan Kitab Asrar Al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana) karangan Hamzah Al-Fansuri (Tahun 1116 Masehi) yang telah disalin semula oleh Arwah Abdul Majid bin Said dari Kampung Senama Tengah, Rembau, Negeri Sembilan dalam tulisan tangan jawi. Saya berhasrat untuk menghidupkan kembali khazanah lama ini bagi tatapan dan pemahaman generasi sekarang. Bahasa yang digunakan agak sukar difahami, oleh itu saya hanya akan memetik bahagian yang saya faham sahaja. Jika ada kesilapan dari segi transliterasi, saya harap dapat dibetulkan.

Saya akan memaparkan petikan kitab ini secara bersiri dan dipecahkan mengikut nombor saya sendiri, harap maklum.

Ketahuilah hai segala anak Adam yang Islam, bahawa Allah SWT menjadikan kita daripada tiada bernama diberi nama, tiada berupa diberi rupa, lengkap dengan telinga, dengan hati, dengan nyawa, dengan budi. Sayugia kita cari Tuhan kita itu supaya kita kenal dengan makrifat kita, atau dengan khidmat kita kepada guru yang sempurna mengenali Dia, supaya jangan taqsir kita (menyesali).

Sementara belum bertemu dengan yang sempurna bermakrifat, pandang pada 15 bait, dan setiap bait mempunyai 4 cabang. Jika kamu faham akan 15 bait ini, lihat pada syarahannya pula kerana syarahannya itu perkataan makrifat Allah ada dengannya, nyata dalamnya, wallahu a’lam.

Bab pada menyatakan Makrifat Allah Taala serta SifatNya dan Asma’Nya

1. Ahu segala kita yang menyembah nama
Sayugia diketahui apa yang pertama
Kerana Tuhan kita yang sedia lama
Dengan ketujuh sifat bersama-sama

2. Tuhan kita itu Yang Empunya Zat
Awalnya Hayyun pertama bilang Sifat
Keduanya ‘Alimun dan rupa maklumat
Ketiga Muridun kan sekalian Iradah

3. Keempat Qadirun dengan QudratNya tamam (sempurna)
Kelimanya sifat bernama Kalam
Keenamnya Samak dengan adanya Dawam (Berkekalan)
Ketujuh Bashar akan halal dan haram

4. Ketujuhnya itu adanya Qadim
Akan Isti’dad A’lamin sempurna Alim (Kesediaan)
Kerana SifatNya ini dengan Kamalul Hakim (Sempurna dan Bijak)
Bernama Bismillahir rahmanir rahim

5. A’lim ini Hakikat Muhammadun Nabiun
Menurutkan makluman lengkapnya Qawi
Daripada hakikatNya itu jahili dan wali
Beroleh iktibarnya dengan sekalian peri

6. Tuhan kita itu empunya Kamil
Di dalam ilmuNya tiada pernah zawal (hilang)
Rahman dalamnya perhimpunan Jalal
Beserta dengan Rahim pada sekalian Jamal

7. Tuhan kita itu yang bernama A’liyin (Yang Tinggi)
Dengan sekalian sifatNya yang sentiasa Baqa’ (Kekal)
A’la jamii’l alamin atharath jadi
Daripada sittu jihat sebab inilah Khali (Suci)

8. Cahaya Atharath tiada akan padam
Memberikan wujud pada sekalian a’lam
Menjadikan makhluk siang dan malam
Ila Eidal Abada tiada akan karam

9. Tuhan kita itu seperti bahrul a’tik (laut yang dalam)
Ombaknya penuh pada sekalian tariq
Laut dan ombak keduanya rafiq (rapat)
Akhir ke dalamnya jua ombaknya ghariq (karam)

10. Lautnya alim alunnya maklum
Keadaannya qasim ombaknya maksum (terpelihara)
Taufannya syu’unnya mahkum (yang dihukum)
Pada sekalian a’limin inilah rusum (kelaziman)

11. Jikalau sini kamu tahu akan wujud
Itulah tempat kamu syuhud
Buangkan rupa mu pada sekalian qiud (perhubungan)
Supaya dapat diri qaud (tetap)

12. Pada Wujud Allah itulah sayugia kau Qaim (berdiri)
Buangkan rupa dan namamu daim (berkekalan)
Nafikan rasamu daripada makhdum dan khadim
Supaya sampai kepada amali yang khatim (kesudahan)

13. Jika engkau belum tetap seperti batu
Hukum dua lagi khadim dan ratu (raja)
Setelah lupa engkau daripada emas dan batu
Mangkanya dapat menjadi satu

14. Jika belum fana’ daripada ribu dan ratus
Tiadakan dapat ada mu kau hapus
Nafikan rasa mu itu daripada kasar dan halus
Supaya dapat barang kata mu harus

15. Hamzah Fansuri sungguhpun dhaif
Hakikatnya hampir pada Dzatul Syarif
Sungguhpun khafibun rupanya kasif (yang tebal)
Wasilnya daim dengan bahrul latif

Inilah Bait 15.

– Bersambung (dengan syarah Bait 15 ini) –