Ilusi Optik Menarik

Kumpulan beberapa ilusi optik yang menarik untuk anda nikmati…..Selamat mencuba.

**Perhatian: Klik pada imej untuk melihat imej dan gerakan imej yang lebih jelas.

1. Lihat pada batang pensil. Berapa batang pensil dalam gambar ini? Nampak macam tujuh! tapi, eh enam pulak? Tidak…. jadi berapa bilangannya?

2. Tutup mata kiri anda dan tenung pada tanda pangkah. Semasa bulatan bergerak ke kiri dan ke kanan, ia sepatutnya melalui titik buta (blind spot) anda dan hilang sama sekali. Anda perlu tunduk dan rapat sedikit untuk melihat ini.

3. Tenung pada bulan sabit lama-lama, dan anda dapati bintang-bintang akan semakin malap dan hilang. Berapa banyak bintang yang hilang?

[Klik pada gambar imej untuk melihat gerakan imej]

4. Garisan yang mana satu yang lebih panjang? Uji dengan menggunakan pembaris atau kertas…. anda mungkin terkejut.

5. Berapa warna yang anda lihat? Kebanyakan orang melihat empat warna: hijau, biru dan 2 warna merah jambu yang berlainan.

Klik pada imej untuk melihat jawapannya.

6. Semasa bulatan kecil menyilang bulatan besar, kita nampak macam garisan segiempat membesar dan mengecil. Tetapi, sebenarnya tiada terdapat “segiempat”…. otak anda cuba untuk melihat dalam bentuk solid dan mengisi tempat kosong itu.

[Klik pada imej untuk melihat gerakan imej]

7. Objek dalam imej ini kelihatan seperti bergerak, tetapi tidak, ia tidak bergerak…

8. Lihat pada titik merah sebentar dan jalur kelabu akan hilang.

9. Walaupun anda tidak percaya, garisan-garisan ini aalah lurus dan selari. Cuba lihat betul-betul….

10. Kedua-dua burung ini adalah seiras, bukan sahaja saiz tetapi juga warnanya.

Klik untuk melihat imej yang sama dengan latar belakang dibuang.

11. “Ikan-ikan” ini kelihatan bergoyang (bergerak-gerak), tetapi yang bertukar dalam animasi ini hanyalah warnanya.

12. Apa yang anda lihat sekali lalu? Anak panah kuning mengarah ke kiri atau anak panah hijau mengarah ke kanan? Tiada jawapan yang betul. Lain orang nampak anak panah yang berbeza pada mulanya.

13. “Lingkaran palsu” …. ini sebenarnya satu siri bulatan konsentrik, susah juga nak percaya kan? Cuba gerak-gerakkan kursor ke atas dan ke bawah.

Untuk membuktikan tiada lingkaran, cuba “trace’ jari anda di keliling salah satu bulatan tersebut. Anda akan dapati ia tidak bergerak ke arah dalam atau ke arah luar.

14. Adakah nada melihat titik-titik merah jambu. Jika anda melihat pada pangkah (di tengah-tengah), anda akan melihat titik hijau bergerak keliling, titik lain akan hilang…..

15. Mula-mula, lihat pada imej dengan jarak dekat, kemudian lihat pula pada jarak 1 meter. Apa yang anda nampak?

16. Gerak-gerakkan kursor tetikus (mouse) anda ke atas dan ke bawah untuk melihat gambar ini. Adakah gambar ini bergerak?

17. Ke arah manakah kucing ini berpusing, arah jam atau menentang arah jam? Sekali lagi, lain orang nampak arah yang berbeza. Kelihatan seperti kucing ini berpusing mengikut arah jam, tetapi dengan praktis anda boleh melihat sebaliknya….cubalah.

18. Lihat betul-betul pada imej ini. Adakah sebarang lingkaran yang berpusing? Lingkaran ini berpusing hanya di dalam kepala anda.

19. Gerak-gerakkan kursor dan lihat gambar ini. Tiga ilusi dalam satu! Ilusi tiga dalam satu ini termasuk satu lingkaran palsu, satu stuktur Escher-esque yang mustahil, dan lantai yang tidak rata.

20. Terdapat perkataan yang tersembunyi di sini. Bolehkah anda melihatnya?

21. Bolehkah anda meneka yang mana garisan yang terpanjang dan garisan yang terpendek di atas lengkok dalam gambar ini?

22. Dinding rumah ini menghadap ke arah luar atau ke arah dalam?

23. Yang mana satu di antara dua titik ini adalah pusat sebenar bagi bulatan ini?

Klik pada imej untuk melihat jawapannya.

24. Bolehkah anda teka mana satu di antara kereta-kereta ini yang terbesar?

25. Ini mudah saja. Adakah dua barisan segiempat ini betul-betul selari?

Perjumpaan Bekas Pelajar Kolej Pertanian Malaya (KPM) 1970an

Kenangan Perjumpaan Bekas Pelajar Kolej Pertanian Malaya (KPM) 1970an atau KPM Last Kopek pada 2 Oktober 2010 yang lalu di MAEP, Serdang….

Kuiz Kemandirian (Survival Quiz)

Nak tahu sejauh mana tahap pengetahuan kemandirian anda?

Sila buat Kuiz Tahap Kemandirian (Survival Quiz) ini. Dipersilakan….

Sila ke sini Survival Quiz

Source: xa.yimg.com

Pulihara – Puisi Sains

PULIHARA

Di mana-mana kemusnahan
Di mana-mana pencemaran
Ekosistem ternoda dek rakusnya tangan manusia
Kaya sebentar cuma
Habitat tercemar
Kepupusan biologi pasti menerpa.

Negara dinobat antara megadiversiti di maya pada
Khazanah alam Kurniaan Ilahi
Ayuh! didik anak-anak kecil, sedari masyarakat segala
Hargai diversiti hidupan ini
Ghuyub sudah tak mungkin terganti
Menghimpit sosio-ekonomi serta lestari insani.

Puliharalah
Biakkan kembali sisa-sisa khazanah hidupan ini
Tak ternilai harganya
Warisan tinggalan buat generasi pengganti.

Siti Khalijah Daud
14/12/2009
Fakulti Sains, UPM

Dideklamasikan sewaktu Majlis Penutupan Bulan Kualiti Fakulti Sains 2009
16 Disember 2009

Latihan Penggunaan e-Learning PutraLMS 2.0 Fakulti Sains

Sesi Latihan Penggunaan e-Learning PutraLMS 2.0 untuk pensyarah-pensyarah di Fakulti Sains telah diadakan buat kesekian kalinya pada 23 Disember 2009 (Rabu) di dua makmal komputer iaitu di Jabatan Biologi dan Jabatan Matematik.

PutraLMS

Empat Fasilitator dari Fakulti Sains dan 4 pegawai CADe telah membantu mengendalikan sesi latihan untuk memasukkan rangka kursus dan nota kuliah ke dalam PutraLMS yang digunapakai pada Semester Kedua Sesi 2009/2010 yang akan bermula pada 28 Disember 2009 ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat. Semoga penggunaan PutraLMS ini akan dapat meningkatkan lagi proses serta kualiti pengajaran dan pembelajaran di Fakulti khasnya dan di UPM umumnya.

Maklumat selanjutnya di sini

Bengkel Puisi Sains

Fakulti Sains UPM telah menganjurkan Bengkel Puisi Sains pada 14 Disember 2009 yang lalu di Bilik Saintis Gemilang, Fakulti Sains UPM. Pembimbing yang telah mencurahkan ilmu dan berkongsi pengalamannya yang berharga dalam Bengkel ini ialah Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Bengkel Puisi Sains ini bertujuan untuk mentegrasikan puisi dengan sains dalam jiwa warga Fakulti Sains, di samping mencungkil bakat berkarya atau berpuisi di kalangan mereka. Dengan itu diharapkan pelbagai konsep dalam sains akan mudah difahami dan diminati umum melalui puisi. Jenis puisi yang ditekankan buat kali ini ialah puisi modern iaitu sajak. Pada akhir Bengkel, ramai yang telah mempamerkan kebolehan mereka berkarya melalui latihan yang diberikan. Diharapkan karya-karya ini dapat dikompilasikan dalam satu antologi sajak berasaskan sains.

Majlis Malam Gemilang Sains ’09

Majlis Malam Gemilang Sains ’09 bersempena dengan Bulan Kualiti Fakulti Sains, UPM, telah berlangsung dengan meriahnya di Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya, pada 10 Disember 2009 lalu. Majlis ini diadakan untuk menghargai sumbangan cemerlang warga Fakulti Sains sepanjang tahun 2008 dalam pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan profesional dan sokongan yang telah melonjakkan nama Fakulti Sains.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Y Bhg. Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha Raja Abdullah. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Abu Bakar Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Prof. Dr. Tai Shzee Yew, serta lebih daripada 200 warga Fakulti Sains.

Pelbagai anugerah diberikan kepada warga Fakulti pada Malam Gemilang Sains ’09. Anugerah Khas Tokoh Fakulti Sains juga telah diumumkan pada majlis tersebut. Tokoh yang dipilih pada kali ini ialah Prof. Dr. Abdul Halim Shaari dari Jabatan Fizik. Tahniah.

Selanjutnya di sini

Audit Prestasi Akademik (APA) Dalaman kali ke-2

Fakulti Sains telah menerima kunjungan para Juru Audit APA Dalaman UPM kali ke-2 yang bermula dari 8, 9 dan 17 Disember 2009. Fakulti bertuah kerana telah diaudit dalam kesemua 9 bidang.

Audit Prestasi Akademik (APA) Dalaman ini adalah sebagai persediaan UPM untuk menghadapi APA oleh MQA pada bulan Januari 2010. APA adalah perlu untuk UPM mendapatkan status swa akreditasi (self-accrediting institution).

Selanjutnya di sini

Kolokium Sains 2/2009

Kolokium Sains 2/2009 Fakulti Sains telah diadakan pada 3 Disember 2009 di Bilik Saintis Gemilang dan Bilik Al-Khawarizmi, Jabatan Matematik dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Dalam Kolokium ini pegawai-pegawai akademik Fakulti membentangkan kertas kerja yang pernah mereka bentangkan di luar negara untuk warga Fakulti pula.

Selanjutnya di sini

Konvensyen Fakulti Sains 2009

Konvensyen Fakulti Sains UPM kali ke 2 yang bertemakan ‘Iltizam Melonjak Kecemerlangan’ telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Jurutera, Fakulti Kejuruteraan pada 2 Disember yang lalu. Konvensyen Fakulti Sains kali ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Abu Bakar Salleh yang mewakili Datuk Naib Canselor.

Konvensyen ini menyediakan wadah bagi semua staf, pegawai akademik dan sokongan, Fakulti memberi pandangan dan perkongsian ilmu serta informasi dalam usaha untuk melonjakkan pencapaian Fakulti ke tahap yang lebih tinggi. Tema ‘Iltizam Melonjak Kecemerlangan’ hendaklah dihayati oleh setiap warga Fakulti supaya setiap individu dapat melakukan anjakan paradigma kepada diri sendiri dan perkhidmatan yang disampaikan.

Konvensyen ini juga dijadikan pentas bagi perbincangan antara semua staf dengan pihak pengurusan Fakulti, menyorot kembali kejayaan yang telah dicapai dan memperbaiki kelemahan sepanjang tahun 2009, di samping beriltizam untuk meningkatkan lagi kecemerlangan pada tahun-tahun mendatang.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Musa Ahmad penceramah jemputan juga telah berkongsi pengalaman yang dilaluinya menerajui sebuah fakulti di UKM.

Selanjutnya di sini dan di sini serta di sini