Nasihat ~ Jangan takut dan berharap kepada makhluk

“Janganlah kamu takut kepada makhluk dan janganlah kamu berharap kepada mereka, kerana hal itu menunjukkan betapa lemahnya imanmu. Hendaklah engkau istiqamah dalam cita-citamu, sehingga engkau memperolehi ketinggian, kerana Allah SWT akan memberimu sesuatu yang layak dengan cita-citamu, dengan kebenaran dan keikhlasanmu. Bersungguh-sungguhlah engkau, songsong dan kejarlah, kerana sesuatu itu tidak akan datang kepadamu begitu sahaja, tanpa berusaha memperolehinya, sedangkan engkau mempunyai kewajiban untuk melakukan amal kebaikan sebagaimana engkau diwajibkan untuk mencari rezeki.” ~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam bukunya ‘Wasiat & Nasihat Kerohanian’

Kurangkan mulut berbau

Nafas atau mulut yang tidak berbau memberikan lebih keyakinan dan keselesaan kepada kita untuk berinteraksi dengan orang lain.

Namun begitu, kadang-kadang kita tidak perasan yang nafas atau mulut kita berbau sehingga ada orang yang ‘berani’ memberitahu kita. Walaupun ini amat memalukan tetapi kita harus menerima teguran tersebut dengan dada yang lapang disertai dengan azam untuk memperbaiki keadaan ini. Jangan marah atau berkecil hati dengan orang menegur ini kerana mungkin niatnya baik bagi memperbaiki keadaan atau mungkin juga dia sudah tidak tahan dengan baunya, terutama apabila dia terpaksa duduk berdekatan atau berinteraksi secara dekat. Oleh itu, sebaik-baiknya apabila bercakap dengan orang sebelah, jangan terlalu dekat, jarakkan diri sekurang-kurangnya 1 kaki daripada orang sebelah semasa bercakap. Ini bagi mengelakkan bau yang kurang enak dari mulut kita dihidu oleh orang sebelah.

Selalunya mulut atau nafas berbau disebabkan oleh bakteria yang berkumpul dalam mulut, di celah-celah gigi, gusi yang sensitif, gigi berlubang, di permukaan lidah dan lain-lain. Ada juga nafas berbau disebabkan oleh infeksi sinus, alergi, infeksi paru-paru, dan lain-lain.

Di antara tips atau kaedah yang boleh diamalkan supaya nafas/mulut tidak berbau ialah:

1. Berus gigi dam gunakan floss dengan lebih kerap. Sekurang-kurangnya berus gigi 2 kali sehari dan gunakan floss sekali sehari.

2. Berus permukaan lidah dengan berus gigi kerana di bahagian ini banyak bakteria berkumpul.

3. Kumur-kumur dengan air putih selepas makan bagi mengeluarkan sisa-sisa makanan di celah-celah gigi di samping merangsang pengeluaran air liur bagi melancarkan lagi proses penghadaman dan memastikan mulut tidak kering.

4. Kumur dengan air garam bagi membunuh atau membantutkan pertumbuhan bakteria dalam mulut. Selain itu, boleh juga gunakan air kumuran (mouth wash) yang ada dalam pasaran, seperti Listerine atau jenama lain.

5. Penjagaan gigi yang betul supaya gigi tidak berlubang dan gusi sihat. Gigi berlubang dan gusi yang bengkak/berdarah menggalakkan pengumpulan bakteria yang menghasilkan bau kurang menyenangkan. Buat pemeriksaan gigi 6 bulan sekali.

6. Jangan biarkan mulut kering. Banyakkan minum air putih dan kunyak chewing gum tanpa gula bagi menggalakkan pengeluaran air liur.

7. Elakkan makanan yang menghasilkan bau kurang menyenangkan seperti petai, jering, bawang putih, bawang, dsb. terutamanya apabila berinteraksi dengan orang lain.

8. Jangan merokok kerana asap rokok merosakkan tisu gusi dan menyebabkan gigi berkarat, selain daripada meningkatkan risiko mendapat kanser mulut.

9. Elakkan mengambil makanan manis, gula-gula, chewing gum manis, dsb. selepas makan malam kerana sisa makanan manis ini akan menggalakkan pertumbuhan bakteria yang menyebabkan masalah mulut berbau.

10. Kunyah setangkai bunga cengkih atau sedikit beras (yang telah dibersihkan) setiap hari.

Sumber

Hadis Qudsi – 67 ~ Allah Berkuasa menutup dan mendedahkan rahsia kejahatan seseorang

Berkata Anas r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Aku lebih Pemurah dan lebih Pengampun daripada kemungkinan Aku menutup rahsia kejahatan seorang muslim, kemudian Aku mendedahkannya pula (di hari kiamat) sesudah Aku menutupinya. Aku masih terus mengampunkan hambaKu selagi dia memohon keampunan kepadaKu.”
(Riwayat Hakim)

Pesanan Luqman al-Hakim: Gauli orang alim

“Pesanan Luqman Al-Hakim kepada anaknya: “Wahai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya yang bagaikan tanah subur lalu disirami air hujan.”

Petua kurangkan dengkur

Dengkuran yang kuat semasa tidur memang mengganggu pasangan yang tidur di sebelah. Ini sering menimbulkan masalah atau kurang selesa dalam perhubungan suami isteri dan ada yang sampai membawa kepada masalah perkahwinan. Mana tidaknya, jika pasangan tidak boleh tidur sepanjang malam disebabkan dengkuran suami yang kuat, maka si isteri terpaksa tidur di atas katil yang berasingan, atau mungkin dalam bilik tidur yang berasingan.

Dengkuran yang terlalu kuat juga akan menimbulkan masalah kepada diri sendiri terutamanya apabila pernafasan terganggu atau terhenti seketika, ini boleh meningkatkan risiko mendapat sakit jantung.

Oleh itu, dengkuran yang kuat janganlah dipandang remeh. Beberapa petua untuk mengurangkan dengkuran secara semulajadi dengan mengubah gaya hidup diberikan di bawah ini sebagai panduan:

1. Ubah kedudukan badan semasa tidur

– Tidur terlentang akan menyebabkan anak tekak tertekan ke belakang kerongkong yang akan menghasilkan bunyi getaran (dengkuran). Oleh itu, tidur mengiring dapat mengurangkan dengkuran tersebut.

2. Kurangkan berat badan – terutamanya di kawasan leher.

– Lemak yang banyak di keliling leher akan menyebabkan saluran kerongkong menjadi sempit dan ini boleh menyebabkan bunyi dengkuran semasa tidur.

3. Jangan minum alkohol sebelum tidur

– Alkohol boleh menyebabkan otot di bahagian belakang kerongkong tidak rehat, dan ini akan menghasilkan bunyi dengkuran.

4. Amalkan habit tidur yang baik

– Contohnya: Tidur yang cukup dan tidak terlalu letih bekerja dalam tempoh yang lama tanpa rehat.

5. Buka laluan hidung dalam – terutamanya apabila mendapat selesama atau hidung tersumbat yang mungkin disebabkan resdung atau lain-lain. Ini boleh dilakukan dengan mandi air suam sebelum tidur atau masukkan air garam ke dalam hidung dan keluarkan, buat beberapa kali sehingga hidung terasa lega.

6. Tukar bantal jika bantal berhabuk.

– Bagi mereka yang alergi kepada habuk, bantal yang berhabuk boleh menyebabkan dengkuran.

7. Minum banyak air

– Kurang minum air menyebabkan rembesan/cecair hidung dan anak tekak menjadi pekat/ketat yang mana ini juga boleh menyebabkan dengkuran.

Selamat mencuba….

Artikel rujukan

Kemiskinan, penyakit dan mati

Abu-Dardaa r.a. berkata: “Saya suka kepada kemiskinan kerana itu sebagai tawadhu’ merendah diri kepada Tuhanku, dan aku suka penyakit sebab itu sebagai penebus dosa, dan aku suka kepada kematian kerana rindu kepada Tuhanku.”

Petua untuk tidur lena

Berikut dipanjangkan beberapa petua/tips yang berguna dan berkesan untuk tidur lena pada waktu malam supaya badan menjadi segar apabila bangun tidur dan menjadikannya hari yang produktif.

Tambahan kepada petua di bawah ini – muhasabah diri, maafkan semua orang (seperti yang biasa disebut oleh pakar Motivasi, Dato’ Mohd Fazdillah Kamsah) dan bersyahadah sebelum tidur atau melelapkan mata.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua….

Kesukaran tidur di waktu malam seringkali dihadapi oleh golongan bekerjaya. Masa yang paling sesuai untuk merehatkan minda dan tubuh serta merenggangkan otot-otot kita yang saban hari bekerja adalah ketika tidur.

Jika kita tidak dapat tidur yang cukup, permulaan hari kita akan menjadi celaru dan kelak menggundang lebih banyak masalah. Tidur yang paling sesuai untuk orang dewasa adalah selama 7-8 jam sehari.

Ikuti beberapa tips berkesan untuk mendapatkan tidur yang lena setiap hari!

Pemilihan tilam dan bantal

Pastikan anda memilih tilam dan bantal yang sesuai dan selesa. Jika anda ada duit lebih, apa salahnya laburkan untuk keselesaan di tempat tidur anda. Terdapat beberapa jenama pengeluaran bantal dan tilam diperakui keberkesanannya. Antaranya adalah Vono, Dreamland dan juga Kingkoil. Ikut keselesaan anda, saiz dan juga ketebalan kabusnya perlu diambil kira kerana ada sesetengah orang yang suka bantal lebih rendah dan lembut, ada juga yang gemarkan bantal ataupun tilam yang lebih keras dan tinggi untuk meletakkan kepala. Fahami kehendak sendiri sebelum anda membeli.

Elakkan tidur di waktu petang

Badan pasti terasa lesu setelah seharian bekerja dan memerah otak. Apabila sampai di rumah, elakkan daripada terus baring. Lebih elok jika anda bersihkan diri dan makan malam dahulu. Kerana jika anda sudah tidur di waktu petang kemungkinan besar, anda akan menghadapi kesukaran untuk tidur pada malam kerana anda tidak berasa mengantuk apabila anda tidur pada waktu petang.

Bersihkan diri

Sebelum tidur pastikan keadaan diri anda sudahpun bersih dan segar selepas mandi sebelum anda tidur. Diri anda akan berasa lebih selesa untuk tidur dengan bauan kesegaran selepas mandi.

Jangan makan terlalu banyak 1 jam sebelum tidur

Waktu yang paling sesuai untuk makan malam adalah di sekitar jam 7 hingga ke 8 malam. Selepas dari masa yang dinyatakan, anda disarankan tidak mengambil makanan berat seperti nasi, mee goreng dan makanan berat yang lain kerana bukan sahaja tidak bagus untuk sistem pembakaran lemak, malahan badan anda akan terasa lesu keesokan paginya.

Minum segelas susu segar

Dalam susu segar mengandungi satu bahan yang dipanggil tryptophan dimana berfungsi sebagai alat pembina protein yang akan menghasilkan hormon kegembiraan di dalam badan. Selepas meminum susu., badan anda akan berasa ringan dan lebih gembira untuk melelapkan mata. Jika kita dapat lihat, bayi kecil akan meminum susu mereka sebelum tidur dengan mudah.

Kosongkan fikiran

Masalah ini serinkali terjadi kepada mereka yang tertekan dengan kerja seharian. Untuk mengelakkan tidur anda terganggu, cuba tips ini, fikir perkara yang lebih seronok dari memikirkan masalah kerja dan sebagainya yang hanya akan menyukarkan tidur anda. Kosongkan fikiran, dalam 10 atau 15 minit selepas itu, anda pasti akan terlelap.

Sumber

Hadis Qudsi – 66 ~ Allah bersama orang yang berkongsi

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Akulah pengongsi ketiga antara dua orang yang berkongsi, selama yang satu tiada mengkhianati temannya. Jika dia mengkhianatinya, keluarlah Aku dari antara keduanya.”
(Riwayat Abu Daud dan Hakim)

Khasiat buah-buahan segar

Buah-buahan segar sangat berkhasiat kepada kesihatan kita, lebih baik daripada buah-buahan yang diekstrak. Amalkanlah makan buah-buahan segar setiap hari….

Sumber

Tulislah sesuatu yang bermanfaat

“Semua Penulis itu akan mati, hanya karyanyalah yang akan terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti.” ~ Ali bin Abu Thalib k.w.